Insiden di KFC: Polis tak ambil kira video di Youtube
Polis akan mengambil tindakan ke atas media
yang didapati menimbulkan isu perkauman dalam laporan mereka berhubung
insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di sebuah restoran di Shah Alam,
Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob
berkata, polis juga akan mengambil tindakan ke atas penulis komen yang
menimbulkan isu perkauman di
Youtube, ekoran penerbitan rakaman insiden berkenaan di laman itu.
Menurutnya
lagi, polis setakat ini hanya mengambil tindakan ke atas insiden
pergaduhan di Kentucky Fried Chicken i-City itu mengikut Seksyen 323
Kanun Keseksaan.

"Kita hanya ambil tindakan di atas pergaduhan itu. Lepas itu (rakaman) pergaduhan ini diletak dalam
Youtube, komen yang timbulkan isu perkauman itu kita akan ambil tindakan lain.
"Kalau
yang itu (isu perkauman) jadi kes lain. Kalau suratkhabar yang
timbulkan perkauman (berhubung insiden itu), kita akan ambil tindakan ke
atas suratkhabar," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini.
Polis juga tidak akan menggunakan rakaman di
Youtube itu untuk siasatan kes pergaduhan tersebut, kata Ahmad Zahedi lagi.
Sebaliknya,
polis hanya akan menggunakan rakaman video litar tertutup (CCTV) dari
premis restoran itu, yang setakat ini masih belum diterima pasukannya,
kata Ahmad Zahedi.
"(Rakaman) di
Youtube tak boleh pakai sebab dah edit semua. Anda ingat itu rakaman betul?," katanya lagi.
Sekurang-kurangnya dua rakaman insiden berkenaan dikesan telah dimuatkan di
Youtube dan mendapat perhatian meluas oleh pengguna Internet setakat ini.
Tambahnya, polis juga masih menunggu laporan perubatan daripada lelaki yang mendakwa dicederakan dalam insiden itu.
"Tinggal
sekarang ini, kita buat kawad cam dan semak rakaman CCTV dari KFC,
lepas itu kita akan tunggu laporan perubatan orang yang kata kena tumbuk
itu, dia buat pemeriksaan perubatan.
"Kita nak tengok ada kesan
(cedera) atau tidak," katanya lagi yang turut mengesahkan siasatan ke
atas tiga orang kakitangan restoran tersebut.
Katanya, suspek –
tiga lelaki berusia 20-an – itu juga tidak ditahan dan hanya diminta
untuk hadir untuk pengecaman di ibu pejabat polis daerah itu.
"Kita
buat kawad cam untuk (pengadu) kenalpasti siapa yang tumbuk dia, sama
ada dia kenal atau tidak kenal. Macam mana nak tuduh kalau dia tak kenal
siapa?," katanya lagi.
Tambahnya, polis juga telah mencatat kenyataan daripada sekurang-kurangnya sepuluh orang saksi dalam kes berkenaan.